Make your own free website on Tripod.com
MAJALAH AL-FAJ'R PKPMS

LALAI ATAU PEMIKIRAN TERTUTUP

"Mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan yang sesat dan menyampaikan yang menyeru dengan kebajikan". Inilah ayat yang sering diwar-warkan oleh Majalah Al-Imam pada awal abad ke 20. Sekarang kita berada dipenghujung abad ke 20. Satu jangka masa yang panjang dan terlalu lama untuk mencapainya. sekurang-kurangnya ia memerlukan tiga generasi untuk bersama zamannya. Kita nilai akan diri kita sama ada benar ayat tersebut ketika ia diungkapkan dan adakah berpadanan dengan masyarakat kita pada masa sekarang. Mari kita imbas kembali dalam pertengahan bulan Julai 1998 ini telah disiarkan satu iklan berkenaan tasbih elektronik di'Smart Shop" seolah-olah ia satu lagi agenda yang mana agama seperti diperdagangkan walaupun bertasbih itu pernah dikatakan bida'ah (yang baik), namun kewujudan tasbih tersebut membuktikan kepada masyarakat luar (terutamanya barat), bahawa agama Islam adalah agama komersial. Lihat saja perjanjian Pangkor yang mana Sultan harus mendapatkan nasihat dari Residen dan wajib melaksanakannya kecuali hal-hal agama dan adat istiadat Melayu. Agama telah dipisahkan dengan kehidupan. Ramai yang tak menyedari hinggalah 'kaum Muda' muncul. Kemunculan mereka ditentang oleh golongan 'Kaum Tua' yang boleh digelar ulama. Jadi apa peranan ulama pada tika itu. menentang dan mengharamkan revolusi mental orang Melayu kerana danggapkan ia agak sukar mencapainya. Sekarang pelbagai agenda telah dipertengahkan tetapi seolah-olah perkara ini tidak lagi menjadi serius. Ini kerana tidak ada lagi mereka yang begitu sanggup untuk memperjuangkannya dengan menggunakan media. Kesibukan menjadi penyebab utama permasalahan ini. Ketika kita ditegur kita masih menggunakan alasan yang sama untuk tidak terlibat sama, lantas menyerahkan saja pada pihak lain. Adakah kita lalai tentang kehidupan sebagai beragama Islam atau kita belum bersedia seperti masyarakat Melayu awal abad 20 atau seperti 'kaum tua' atau kita masih menganggap kita telah mencapai apa yang dihajati walaupun perjuangan ini tak pernah akan selesai ataupun kita tak memahami suasana ini kerana kelalaian kita, untuk turut sama dan cuba memahaminya. Pelbagai peristiwa yang berlaku tetapi tanpa kita sedari. Mari kita fikirkaan semula beberapa perkara. Pertama ialah 'Mayat bertukar menjadi Babi' yang diterangkan oleh seorang 'ulama' tetapi tanpa disedari ia telah hampir memalukan masyarakat Melayu dan orang yang bantunya. Seperti bantuannya adalah tidak ikhlas tetapi sekadar mahukan cerita untuk diperdengarkan kepada orang ramai dan akhirnya menafikan keluarga tersebut. Walaupun keluarga dikenalinya, adalah tidak wajar memburukkan manusia lain (atau binatang (babi - istilah yang amat menjijikkan berbanding khinzir)). Kedua, tasbih elektronik, ketiga ialah senarai pemegang saham yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, memang benar senarai itu adalah jujur untuk dibentangkan untuk menyatakan tiada nepotisme dan Kronisme. Tetapi adakah disedari bahawa pemegang saham itu adalah dari kelompok mereka yang kaya-kaya belaka. Adakah ini bukan Nepotisme dan kronisme kepada kelompok yang telah kaya. Dan pelbagai lagi isu yang dibentangkan tanpa difikirkan dengan lebih lanjut. Ini belum lagi termasuk ahli dewan yang pemalas ketika persidangan setiap petang Rabu. Namun, tiada kenyataan atau pandangan yang dikemukakan kerana merasakan kedudukan seakan tergugat apabila menyatakannya kerana kita berada hampir dengan suasana tersebut dan kita masih memerlukannya maka seolah kita disuap dan inilah yang berlaku sekarang. Lalaikah kita atau kita telah menutup pemikiran kita untuk memikirkan agenda ini atau memang disengajakan. Kalau begitu halnya harus diungkapkan semula kata-kata Syed Mohd Tahir Jalaluddin iaitu; "Mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan".

Sekian. Wassalam.
Madzani @ Saidie Nusa

Dinakan@rocketmail.com


SAMBUNGAN