Make your own free website on Tripod.com

KONFLIK NILAI ANTARA KAUM DI MALAYSIA

 

Pencerobohan British di negeri-negeri Melayu bertujuan mengeksploitasi segala sumber kekayaan yang ada seperti di Perak kaya bijih timah dan Pahang emas. Semuanya ini untuk memenuhi keperluan perkembangan revolusi perindusrtian di Eropah. Dalam masa yang sama perkembangan ini telah membawa bersama kedatangan orang Cina dan India bekerja sebagai buruh murah dalam perlombongan bijih timah, perladangan getah, lada hitam, pembinaan jalanraya dan keretapi. Walaupun ada diantara mereka yang kembali semula ke negeri masing-masing tetapi kebanyakkan mereka memilih untuk tinggal menetap di Negeri Melayu.

Banci pada tahun 1901 menunjukkan terdapat 58 211 orang India, 299 739 Cina dan banci pada tahun 1911 menunjukkan bilangan mereka semakin bertambah , orang India seramai 172 465 dan Cina 433 244. Keadaan ini mewujudkan bentuk masyarat berbilang bangsa di Negeri Melayu iaitu Melayu, Cina dan India yang mempunyai perbezaan samasekali dalam kebudayaannya, bahasa, cara hidup, sosial dan politiknya. Perbezaan ini menyebabkan adanya konflik nilai dari aspek kepercayaan , hak kelahiran , politik, ekonomi, pendidikan,dan sosial di antara kaum ini di Malaysia.

Faktor membentuk keadaan konflik ini adalah kesan dari strategi pencerobohan British di Negeri Melayu iaitu meletakkan semua kaum ini di dalam kedudukan ekonomi, tempat tinggal, pendidikan yang berbeza-beza sehingga berlanjutan membentuk jurang yang amat ketara diantara kaum ini terutama dalam bidang ekonomi yang banyak mempengaruhi dari segala aspek kehidupan kaum ini di Negeri Melayu.

konflik timbul apabila Pembesar Melayu tidak lagi memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Negeri Melayu sebaliknya Imigran Cina dan India menguasainya terutama di negeri selat. Pada asalnya pembesar menguasai ekonomi di Negeri Melayu dan mengamalkan konsep hamba iaitu orang Melayu dikerah tanpa membayar gaji . Pencerobohan British melalui Perjanjian Pangkor 1874 mengubah suasana ini dan ianya merupakan tarikh Orang Melayu kehilangan kekuasaan, kehilangan keperibadian dan kehilangan kudrat untuk menentukan masa depan dan Negeri Melayu.

Sekarang Pembesar menjadi tuan tanah mendapat keuntungan dengan memajakkan tanahnya kepada imigran Cina di bawah seorang kapitan untuk diusahakan serta mengawal dan mengurus tanah yang dipajakkan kepadanya. Suasana ini merenggangkan lagi hubungan imigran dengan pembesar sebaliknya menguatkan pula hubungan orang Cina dengan ketuanya. Kuasa tidak lagi berada di bawah pembesar sebaliknya kuasa di bawah kapitan mereka sendiri. Didapati suara orang asing ini lebih berkuasa berbanding pembesar Melayu. Contohnya Pedagang Cina di Pulau Pinang seolah mempunyai kuasa untuk membina dunia mereka sendiri dan mendapat kebebasan untuk melantik kapitan mereka dan menjalankan perdagangan mengikut kehendak mereka tanpa campurtangan daripada pihak kerajaan. Ini bermakna imigran ini tidak lagi bernaung di bawah penguasaan raja atau pembesar Melayu sebaliknya mereka menjadi rakyat British di negeri Melayu ini. Sebab itulah mereka berani menyuarakan hak untuk menjadi warganegara di negeri melayu kerana beranggapan negeri ini milik British dan mereka sebahagian dari rakyat British. Manakala Orang melayu pula masih terus tinggal dalam kapsul masa patuh pada daulat raja dan melakukan kerja-kerja tradisional seperti berkebun, bertani dan nelayan atau kerja sara diri di luar bandar.

Konflik juga timbul dalam aspek pendidikan . Keterlibatan imigran Cina dan India dalam ekonomi kapitalisme British di negeri-negeri selat menyebabkan mereka terdedah dengan banyak pembangunan fizikal dan pemikiran contohnya menceburi perdagangan , bersekolah Inggeris di bandar dan bekerja dalam jawatan yang tinggi. Sebaliknya Orang Melayu menetap di luarbandar dan meneruskan aktiviti tradisionalnya meyebabkan mereka ketinggalan dalam banyak bidang berbanding kaum imigran yang tinggal di bandar contohnya dalam pendidikan sekolah Inggeris. British menyedari memberi Pendidikan pada peribumi melayu akan hanya membangkitkan semangat kebangsaan dalam jiwa orang Melayu sepertimana pengalamanya di negeri India. Oleh sebab itu mereka menyediakannya sekadar melepaskan batuk di tangga iaitu menjadikan anak orang melayu pandai sedikit daripada kedua ibubapanya samada petani atau nelayan dan boleh bekerja sebagai peon, drebar dan jaga sahaja.

Realitinya orang Melayu yang terlibat dalam pendidikan Inggeris dan boleh mempunyai status tinggi hanya sedikit sahaja dan mereka terdiri daripada golongan elit yang tinggal di bandar khususnya di negeri selat apatahlagi halangan dari sultan dan pembesar menyebabkan ramai orang Melayu yang tinggal di desa tidak dapat sama sekali mengecapi pendidikan Inggeris ini berbanding imigran Cina dan India yang telah lama terdedah dengan bentuk pendidikan tersebut. Sepertimana angkuhnya Cemuhan Yamtuan Negeri Sembilan terhadap orang Melayu yang tinggal di desa ini:

"I do not like the idea of the children of rajas and chiefs sitting in school side by side with the children of people who once our slaves".

Oleh kerana itu walaupun wujud institusi pendidikan seperti Penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar ianya tidak mendatangkan sebarang faedah kepada orang Melayu yang tinggal di luar bandar yang dapat faedah ialah golongan aristokrat semata-mata.

Konflik kaum juga dapat dilihat apabila pada tahun 1945 dimana merupakan zaman kekosongan yang berkuasa adalah bintang tiga , kekejaman , pembunuhan telah berlaku amat dasyat contohnya berlaku kira-kira 67 peristiwa pembunuhan . Sejarah hubungan antara negeri Jepun dan China sejak tahun 1937 memburukkan lagi keadaan di negeri melayu dimana tentangan orang Cina terhadap Jepun merupakan lanjutan politik di negeri China bukannya rasa taat setia kepada tanah melayu. Oleh kerana itu Pengambilan orang melayu sebagai tentera Jepun meyebabkan konflik timbul dimana pertikaian berubah kepada orang Melayu dengan orang Cina pula menyebabkan hubungan mereka di negeri melayu menjadi tegang. Tahun- tahun berikutnya menampakkan seolah-olah adanya penyatuan antara kaum ini. Namun Penyatuan nilai antara tiga kaum ini dalam politik kepartian UMNO, MCA dan MIC ini adalah semata-mata penyatuan dari peringkat atasan yang terdiri daripada golongan pembesar seperti Tuanku Abdul Rahman mahupun golongan perniagaan contohnya ramai pengasas MCA ( Malayan Chinese Association ) adalah terdiri daripada golongan peniaga. Di peringkat bawah iaitu orang biasa masih berlaku perbezaan pendapat, tempat tinggal dan kedudukan ekonomi yang jelas begitu juga pertubuhan masing-masing adalah bertujuan melindungi kaumnya sendiri. Contohnya UMNO yang diasaskan pada 11 mei 1946 tujuannya memajukan dan memperbaiki keadaan orang melayu.

Kesimpulan

Segelintir golongan berpendidikan samada dari Timur Tengah mahupun pendidikan Inggeris seperti Syed Sheikh Al Hadi , Za'ba telah menyuntikkan kesedaran semangat kebangsaan dimana menjadikan pendidikan sebagai senjata utama bagi menyalurkan sesuatu idealisme dan falsafah hidup melalui akhbar, majalah dan pelbagai penulisan. Contohnya dalam majalah Al Imam tujuannya menyedarkan orang melayu yang lupa , membangunkan orang Melayu yang tertidur, menyokong suara orang Melayu yang bijaksana'. Secara tidak langsung mula meyedarkan sebahagian besar orang Melayu mengenai kepentingan dan hak mereka sebagai pribumi di Negeri Melayu sehinggakan konflik yang berlanjutan ini mewujudkan salahfaham yang berpanjangan mengakibatkan permusuhan yang tragis sepertimana yang berlaku dalam peristiwa 13 mei 1969.


NOTA AKHIR

Nordin Selat, Kelas Menengah Melayu, Utusan Melayu Bhd, Kuala Lumpur, 1976, hlm 114

Sivachandralingam Sundara Raja, Perdagangan Dan Pelabuhan Bebas Sejarah Dan Perkembangannya, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Selangor, 1997, hlm 138

Sepertimana pernyataan Mr. Lim Ching Yan pada tahun 1931 menyatakan " who said this is a malay country, when captain light came here didi he find any malays or kampungs? Our forefathers came here and had worked as labourers and they didi not remit money back to china. They spent their money here and by this means the government was able to open up this country into civilised one. We have become one with this country. This is ours country" dalam buku Raden Soenarno, Malay Nationalism 1896-1941, Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Singapore, 1960, hlm. 13

Sepertimana pandangan Za,ba bahawa kemajuan pendidikan adalah prasyarat penting kepada kemajuan orang Melayu dipetik dalam buku Adnan Haji Nawang, Za'ba Patriot Dan Pendita Melayu, Yayasan Penataraan Ilmu, Kuala Lumpur, 1994, hlm.127 tetapi jelasnya orang Melayu masih ketinggalan dalam bidang ini dan memberi kesan mendalam kepada aspek yang lain khususnya aspek ekonomi.

Sepertimana penyataan Aminuddin Baki bahawa sekolah aliran melayu tidak lebih dari mengajar pengetahuan asas membaca, menulis dan mengira bagi membolehkan mereka menulis dan membaca surat serta mengendalikan " account" sendiri dan membolehkan mereka menjadi peon, drebar dan jaga. Dipetik dalam buku Hamdan Sheikh Tahir, Aminuddin Baki Dan Sumbangannya Terhadap Perkembangan Sistem Pendidikan Kebangsaan, Yayasan Aminuddin Baki, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1921, hlm.15

Nordin Selat, op.cit, hlm 135-136

Sheela Abraham, Sejarah Perkembangan Negara, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 1993, hlm.155

Zainal Abidin Abdul Wahid Etal, Malaysia Warisan Dan Perkembangan, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996, hlm.270

Ibid., hlm.271

Ibid., hlm.308

Ibid. hlm.284

Ensikklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994, hlm 199


BIBLIOGRAFI

 

  1. Adnan Haji Nawang, Za'ba Patriot Dan Pendita Melayu, Yayasan Penataraan Ilmu, Kuala Lumpur, 1994
  2. Ensikklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994
  3. Nordin Selat, Kelas Menengah Melayu, Utusan Melayu Bhd, Kuala Lumpur, 1976
  4. Hamdan Sheikh Tahir, Aminuddin Baki Dan Sumbangannya Terhadap Perkembangan Sistem Pendidikan Kebangsaan, Yayasan Aminuddin Baki, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1921
  5. Raden Soenarno, Malay Nationalism 1896-1941, Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Singapore, 1960
  6. Sheela Abraham, Sejarah Perkembangan Negara, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 1993
  7. Sivachandralingam Sundara Raja, Perdagangan Dan Pelabuhan Bebas Sejarah Dan Perkembangannya, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Selangor, 1997
  8. Zainal Abidin Abdul Wahid Etal, Malaysia Warisan Dan Perkembangan, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996, Yayasan Penataraan Ilmu, Kuala Lumpur, 1994


 

BALIK