Pengenalan
Haron Daud dalam awal pembicaraanya terhadap "Pemikiran dan sikap
Za'ba terhadap bangsa Melayu" mengakui Zainal Abidin Bin Ahmad atau
lebih dikenali ZA'BA adalah seorang pemikir Melayu dan tokoh reformis yang
mempunyai sumbangan yang besar dalam perkembangan dan pembangunan orang
melayu. Pendapatnya berasas merujuk dari usaha Za'ba menangani keadaan
orang Melayu dari aspek kemiskinan, pendidikan dan politik amat jelas dan
mengemukakan beberapa panduan untuk mengatasinya antaranya orang Melayu
mesti mempunyai kesedaran mengubah sikap dan mengutamakan ilmu. Segala
telahan Za'ba terhadap kemunduran dan kemiskinan orang Melayu adalah berdasarkan
kepada pemerhatian semasanya akibat dari pencerobohan British. Namun suasana
ini tidak di fahami oleh seluruh masyarakat dan segala sindirannya disalahertikan
menghina bangsanya sendiri sebaliknya beliau telah berusaha sedaya mungkin
untuk kemajuan bangsanya sama seperti tokoh lain yang sezaman dengannya
seperti Syed Syeikh Al Hadi, Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad.
Namun membandingkan Za'ba dengan kelebihan tokoh lain seperti Ishak
Haji Muhammmad dan Ahmad Boestamam dalam memperjuangkan keadaan bangsa Melayu
ketika itu adalah tidak adil apatah lagi jika tidak mengkaji secara teliti
dan meluas kehidupan Zaba itu sendiri. Walaupun mereka hidup sezaman masing-masing
mempunyai cara tersendiri untuk meluahkan idealisme mereka. Za'ba misalnya
memilih cara penulisan dan kegiatan sosial. Yang pentingnya, dalam hati
sanubari Za'ba mengakui dirinya seorang Melayu, beragama Islam dan perjuangannya
ialah untuk memajukan bangsanya didalam setiap lapangan kehidupan mereka.j
. keinginannya ini membawa kepada sikapnya yang lebih cenderung bersikap
anti raja dan pembesar Melayu , anti kolonialisme British dan perjuangan
pembebasan untuk bangsa Melayu.
Ketokohan Za'ba
Telahan penulis bahawa pendidikan inggeris dan jawatan yang diperolehi
Za'ba menjadi "untaian mutiara" yang membawanya pro kepada
British dan memandang rendah bangsa Melayunya boleh dipertikaikan. Contohnya
telahan Za'ba tidak sesuai mengkritik Inggeris pada ketika itu adalah relevan
iaitu:
"....pada masa ini belum sekali-kali layak kita memajukan perasaan
demikian dan tiada faedahnya..."
Pertamanya dilihat negeri Melayu ketika itu kurang pemimpin Melayu
benar-benar memahami keadaan orang Melayu ketika itu. Beberapa tokoh lain
juga memperkatakan hal ini antaranya Ishak Haji Muhammmad, seorang pemimpin
Kesatuan Melayu Muda ada menyatakan bahawa:
"kegagalan pergerakan orang melayu sebelum perang adalah disebabkan
oleh ketiadaan pemimpin yang berkaliber"
Segelintir sahaja yang berpendidikan seperti Syed Syeikh Al Hadi memandang masa depan orang Melayu penting manakala yang ramainya adalah dari golongan atasan atau elit walaupun berpendidikan Inggeris tetapi secara sedar tidak pernah memahami kesengsaraan dan kekurangan orang Melayu di luarbandar yang tercicir dari pelbagai aspek ini. Bagi Za'ba Golongan raja-raja dan pembesar adalah kolaborator kolonialisme British di sepanjang zaman penjajahannya. Peranan sosial dan politik mereka bukannya melindungi rakyat malah jadi penghalang utama kepada pembangunan pemikiran dan fizikal orang Melayu sepertimana dalam bidang pendidikan yang menjadi aset penting untuk kemajuan dan perkembangan sesuatu bangsa terabai. Tanpa ilmu, tidak mungkin seorang itu boleh berlaku adil walaupun dia cuba berbuat demikian kerana kalaupun dia mahu melaksanakan keadilan tetapi dia tidak tahu caranya disebabkan ilmunya terbatas . dia boleh terdedah pada kesilapan secara tidak sedar.
Tiada penyediaan mantap untuk memimpin orang Melayu dan daifnya pemikiran
golongan elit jelas dilihat pada cemuhan Yamtuan Negeri Sembilan terhadap
orang melayu ,
"....i do not like the idea of the the children of rajas and chiefs
sitting side by side with the children of people who were once our slaves."
Sikap golongan elit ini menyebabkan pendidikan terabai, bahasa Melayu
mundur, ekonomi Melayu tercicir di belakang ekonomi orang asing dan politik
Melayu terhina oleh penjajahan. Kesedaran tentang keprihalan ini telah
benar-benar mengesani jiwanya dan Sikapnya ini jelas diperlihatkan pada
awal 1920an. Oleh itu tidak salah beliau meletakkan segala kemunduran dan
kekurangan orang Melayu disebabkan kebodohan dan kesombomgan golongan raja
dan pembesar Melayu itu sendiri.
Keduanya, berdasarkan pengalamanya sendiri samada dari pengalaman pembacaannya
dari luarnegeri seperti Encyclopaedia Of Islam (1927) serta usahanya menyedarkan
orang Melayu dalam bentuk sindiran melalui penulisan telah mendapat tekanan
dari golongan pemerintah tradisional dan kolonial British contohnya pada
tahun 1921 Za'ba dapat amaran lisan dari Raja Sir Chulan, dituduh cuba
menghasut para pembaca akhbar dan majalah melalui tulisan yang bersifat
anti kerajaan, disekat kenaikan gaji tahunannya, ditukar atau terbuang ke
jabatan karang mengarang SITC di Tanjung Malim 1924. Sebegitu juga tokoh
yang lain menerima nasib yang sama dalam suasana yang berbeza seperti Ahmad
Boestamam di tahan beberapa tahun.
Menurut penulis "setiap orang melayu yang berfikir dan mempunyai semangat
kebangsaan tentu mengetahui dasar dan sikap penjajah inggeris, tinggal lagi
sejauhmanakah kesedaran dan kesanggupan mereka serta langkah yang diambil
untuk berhadapan denagan ranjau inggeris".
Dalam hal ini Za'ba memilih cara dalam bentuk penulisan dan kegiatan sosial
berbanding tokoh lain seperti Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad.
Segala penulisannya adalah dari segala pemerhatian dan penelitian yang mendalam
dan bentuk sindiran terhadap bangsanya yang mundur dan kekurangan semasa
kuasa kolonial amat dahsyat adalah alternatif untuk menyedarkan bangsanya
kerana bergerak bertentangan dengan arus yang deras meyebabkan diri kita
dan orang lain hanyut dan lemas. Segala sindirannya itu boleh jadi panduan
pada generasi sekarang sepertimana penyataan Datuk Senu ,
"jika ciri-ciri negatif ini benar, maka hal itu harus di tinggalkan
dan di singkirkan. Tidak guna kita menafikan atau menunjukkan kemarahan
kita terhadap pendapat dan tuduhan demikian. Sebaliknya biarkan pendapat
demikian mendorong kita mencari apakah sifat yang akan membolehkan kita
bertanding dengan orang lain."
Dengan itu perjuangan Za'ba pada tahun 1920an hingga 1930an adalah lebih
kepada banyak bekerja contohnya menulis seberapa banyak buku yang terdaya
olehnya berkaitan dengan orang melayu untuk panduan pada generasinya yang
akan datang daripada banyak bercakap sahaja.
Manakala pujian Za'ba sepertimana juga Syed Al Hadi bahawa Inggeris adalah
penyelamat bangsa Melayu adalah telahan terawal mereka , merasakan British
dapat menahan akan gerak menggelunsur orang Melayu dari terus ketinggalan
namun perkembangan seterusnya tiada siapa dapat menentukan . Za'ba sendiri
ada menjelaskan kemudiannya kekejaman pemerintahan raja dan pembesar Melayu
tidaklah berakhir dengan perubahan pemerintahan kepada pihak British itu.
Ini kerana institusi pemerintahan tradisi dieksploitasi untuk kepentingan
British. Oleh kerana itulah Sikap anti kolonialisme British timbul sejak
ia melibatkan dirinya secara serius dalam penulisan rencana untuk akhbar
tempatan pada 1917 dan merasakan orang British atau orang Barat atau orang
Nasrani atau kaum kafir musuh Islam.
Penilaian mata kasar penulis bahawa Za'ba bersekongkol dengan kolonial
British berdasarkan jawatannya sebagai seorang kakitangan di dalam pentadbiran
kolonial adalah telahan mengelirukan kerana sikap Za'ba telah jelas dan
tegas iaitu membantu masyarakatnya untuk mencapai kemajuan hidup di dalam
berbagai lapangan sesuai dengan perkembangan di kurun ke 20 ini. Iaitu
berusaha dalam bentuk apa cara asalkan ianya tidak bertentangan dengan ajaran
Islam. Adanya beliau dalam pentadbiran kerajaan dapat menyuarakan pendapatnya
mengenai orang Melayu khususnya dalam menyediakan pendidikan. Semuanya
dilakukan supaya orang Melayu dan muslim mempunyai ilmu dan pengetahuan
yang sesuai dengan kehendak Islam dan sesuai dengan tuntutan perkembangan
zaman. Dan ianya senjata penting didalam perjuangan untuk membebaskan
orang Islam dari cengkaman penjajahan Barat.
Penulis ada menyatakan bahawa Zaba, Abdullah Munshi, Syed Sheik Al Hadi
dan Ahmad Rashid Talu disifatkan sebagai golongan yang "selamat"
tidak mengusik atau memijak ranjau Inggeris. Gambaran penulis mengenai hal
ini semata-mata melihat pengorbanan perjuangan seseorang tokoh berdasarkan
tekanan fizikal sahaja seperti dipenjarakan. Sebenarnya Walaupun Za'ba tidak
dipenjarakan berbanding tokoh yang lain tetapi beliau juga mengalami tekanan
peribadi sepanjang perjuangannya seperti penulisannya sentiasa diawasi oleh
pihak kolonial, gaji dan jawatannya di tahan dan ditukar kerja. Namun peluang
ini diguna sebaik mungkin oleh Za'ba menymbangkan ideanya dalam bidang penulisan
dari aspek bahasa Melayu khususnya.
Dalam hal ini tidak dinafikan sama sekali peranan tokoh seperti Ahmad
Boestamam Dan Ishak Haji Muhammad dalam perkembangan perubahan orang Melayu
contohnya Ahmad Boestamam telah terlibat secara langsung dalam banyak kegiatan
politik tanah Melayu pada tahun 1946-1948 seperti dalam PKMM, API, PUTERA
dan AMCJA. Manakala Za'ba tidak bergiat aktif dalam poltik pada tahun 1947
dan menjelaskan bahawa:
"Saya tidak percaya politik cara yang dijalankan dalam dunia sekarang
akan boleh atau pernah jadi lurus, bersih dan jujur, kebolehan istimewanya
adalah cenderung menulis dan mengarang keadaan fikiran dan ilmu pengetahuan."
Namun begitu beliau berjaya tubuhkan The Malay Literary Association Kuala
Lumpur (1923). Ianya gagal bergerak cergas tetapi ia merupakan satu proses
penyatuan di kalangan anak muda Melayu berpendidikan Inggeris sudah dimulakan
oleh Za'ba iaitu melahirkan Persatuan Guru-Guru Melayu. Adanya Sahabat
Pena sehingga 1942 merupakan pertubuhan yang bukan saja tersusun rapi dari
segi organisasi malah tercapai hasratnya untuk melihat orang Melayu dan
muslim bersatu berasaskan konsep setanah Melayu di Semenanjung Melayu.
Sukar membandingkan sejauhmana tokoh ini berperanan kerana mereka bergerak
dalam cara yang berbeza. Sekiranya Za'ba dikatakan bersekongkol dengan kolonial
British bagaimana pula hubungan Ahmad Boestamam dengan Jepun. Beliau telah
bekerja dengan Jepun dan dalam masa yang sama cuba mendapat restu untuk
bergiat dalam politik . keadaan ini digunakan pula untuk menentang Jepun
. Dilihat kedua-duanya melakukan yang terbaik untuk kebaikan orang Melayu
ketika itu. Za'ba berjaya meneruskan kegiatan beliau dengan cara menyesuaikan
diri dengan kehendak masa dan keadaan ketika itu. Antara di SITC mengasaskan
pejabat penterjemah. Walaupun Kerja yang dibuatnya sangat berat tetapi
beliau berjaya menerbitkan buku siri buku teks (The Malay Scholl Series
) terjemah dokumen penting dan sediakan enakmen untuk pelbagai jabatan.
Pada tahun 1929 beliau memulakan kelas bahasa Inggeris secara sukarela untuk
guru-guru muda di SITC dan terbit Buku Ilmu Bahasa ( 1927 ) dan Rahsia
Ejaan Jawi ( 1929 ).
Usahanya tidak kenal putus asa walaupun kesihatan terganggu dan atas
nasihat doktor beliau berehat ke Indonesia. Peluang ini digunakan untuk
meneliti keadaan perkembangan orang Melayu misalnya mahukan perubahan SITC
sama seperti Balai Pustaka di Indonesia tetapi pendapatnya di tolak oleh
Winstedt. Begitu juga pemergiannya ke Universiti London pada tahun 1947
dalam usia 52 tahun bukan bertujuan makan angin sepertimana telahan penulis
sebaliknya dengan ketepikan kesihatan diri semata-mata untuk menambahkan
ilmu dalam bidang bahasa dan khidmatnya kelak amat diperlukan untuk kemajuan
pengajian bahasa Melayu. terbukti kembalinya ke tanahair beliau menjadi
satu-satunya tenaga pengajar di Jabatan Pengajian Melayu dan membentuk
Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya 29 Januari 1955. Jelas disini
Za'ba berjaya meneruskan kegiatan beliau dengan cara menyesuaikan diri dengan
kehendak masa dan keadaan ketika itu.
Ramai mengakui Za'ba adalah pendeta melayu yang tinggi semangat patriotismenya.
Namun gelaran pendita bukanlah kemahuan nya tetapi penilaian dan pengiktirafan
di atas segala usahanya kepada orang Melayu secara keseluruhannya. Bagi
Za'ba :
"To me a man's value is only estimated by grandeur of his ideas
and his achievement as influencing the thought and destinies of mankind
for good, not by the gradeur of his 'title' or by his own estimate of himself....."
Kesimpulan
Pada peringkat awal (1916-1923), Za'ba merupakan idealis yang berani mengkritik kelemahan pemerintah, golongan pembnesar serta orang melayu secara terbuka melalui media umum. Manakala Peringkat ( 1924 -1950 ), pengawasan yang rapi daripada pihak pemerintah meyebabkan corak perjuangannya lebih sederhana dan pragmatis. Walaubagaimanapun bentuk beliau menyemarakkan idea pemikirannya terhadap bangsa melayu ketika itu tidaklah menjadi persoalan besar, pokoknya usahanya dan sumbangannya mesti dikaji kerana semuanya itu dapat menyemaikan bibit-bibit semangat cintakan negara dan bangsa Melayu untuk bebas dari kongkongan pemerintah tradisional dan kolonial British khusus kepada generasi muda hari ini yang jauh dan buta daripada perjuangannya itu.
Nota Akhir
Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia (JEBAT),
Bil. 23, 1995, hlm 111
Anbalakan Kaisalam, "Individu Dalan Sejarah", Alam Pensejarahan
: Dari Pelbagai Perspektif, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur,
1996, hlm34 ada menyatakan bahawa bukan semua orang akan bertindak dalam
corak yang sama. Oleh itu bukan sesuatu yang pelik jika Za'ba tidak berjuang
secara agresif Seperti Ishak Haji Muhammad Dan Ahmad Boestamam terhadap
British di Negeri Melayu.
Adnan haji nawang, "gagasan dan perjuangan Za'ba",Jurnal
Jabatan Sejarah Universiti Malaya, no.4, 1996, hlm. 141
ibid., hlm. 142 menyatakan Perjuangannya juga ke arah mencapai kemerdekaan
untuk negaranya di satu pihak, dan terlepas juga dari cengkaman golongan
raja serta pembesar melayu di pihak yang lain.
Op.cit,Jurnal Jabatan Universiti Kebangsaan Malaysia,hlm. 111
Op.cit, Anbalakan Kaisalam, hlm.38 menyatakan bahawa terdapat tokoh lain
juga menyatakan hal yang sama seperti Tengku Ismail iaitu Pengerusi Persatuan
Melayu selangor'.menyatakan "kita tidak mempunyai pemimpin yang berkebolehan
untuk memperjuangkan kepentingan kita"
ibid.,hlm. 37sejak perjanjian pangkor pada tahun 1874, raja-raja melayu
tidak lagi memerintah dalam erti kata yang sebenarnya, mereka telah jadi
boneka kepada British.
Majalah Dunia Baru, no.11 bil. 4 tahun 2, 1996, hlm. 44
Nordin Selat, Kelas Menengah Pentadbir Melayu: Satu Kajian Perkembangan
Gaya Hidup, Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur, 1976, hlm. 136
Op.cit, Adnan Haji Nawang, "Gagasan Dan Perjuangan Za'ba",
No.4, 1996, hlm. 90
Ibid., , hlm. 148
Syed Hussein Alatas, "Revolusi Mental Dan Kemalasan Orang Melayu",
Mitos Peribumu Malas:Imej Orang Jawa, Melayu, Filipina Dalam Kapatalisme
Penjajah, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1986, hlm. 143
Adnan Haji Nawang, Za'ba Patriot Dan Pendeta Melayu, Yayasan Penataran
Ilmu, Kuala Lumpur, 1994, hlm. 179
Op. Cit, Adnan Haji Nawang, "Gagasan Dan Perjuangan Za'ba",
hlm. 144
Ibid., hlm. 148
Ibid., hlm147
Ibid., hlm. 154
Ramlah Adam, "Sejarah Politik Malaysia", Alam Pensejarahan:
Dari Pelbagai Perspektif, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996,
hlm. 272
Op.cit, Adnan Haji Nawang, Za'ba Patriot Dan Pendeta Melayu, hlm. 154
Op. Cit, Adnan Haji Nawang, "Gagasan Dan Perjuangan Za'ba",
hlm. 159
Op.cit, Ramlah Adam, "Sejarah Politik Malaysia, hlm. 278
Op.cit, Adnan Haji Nawang, Za'ba Patriot Dan Pendeta Melayu, hlm.179
Ibid., hlm. 90-94
Ibid., hlm. 166-167
Ibid., hlm. 147
Badriyah Hj. Salleh, Tan Liok EE, Alam Pensejarahan: Dari Pelbagai Perspektif, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996
Jurnal jabatan sejarah universiti malaysia , No. 4, 1996
Majalah Dunia Baru, no.11 bil. 4 tahun 2, 1996
Nordin Selat, Kelas Menengah Pentadbir Melayu: Satu Kajian Perkembangan Gaya Hidup, Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur, 1976
Syed Hussein Alatas, Mitos Peribumu Malas:Imej Orang Jawa, Melayu, Filipina Dalam Kapatalisme Penjajah, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1986