Make your own free website on Tripod.com

Bentuk Hubungan Kaum di Malaysia dari 1840 an hingga 1900

 

Pendahuluan

Terlebih dahulu kita lihat mengapakah tahun 1840an hingga 1900 penting. Pada tahap inilah kemasukkan orang Cina dan India ke Tanah Melayu lebih ketara, sebelum itu mereka bebas keluar dan masuk dan selepas 1874 kemasukkan mereka disokong oleh pihak British. Ini kerana tenaga mereka amat diperlukan untuk bekerja di lombong-lombong dan estet-estet. Kita juga dapat lihat perkembangan hubungan kaum pada tahap yang awal dan dengan itu dapat fahami jurang perbezaan yang ketara antara kaum-kaum ini. Ekonomilah penyebab utama kaum-kaum ini telah dipisahkan dan dipecahkan oleh pihak British untuk memenuhi kepentingan ekonomi kolonial dan berterusan sehingga abad 20. Pada tahun 1840an permintaan pada buruh-buruh luar terutama dari China dan India agak tinggi berbanding buruh-buruh Melayu. Ini kerana persepsi masyarakat Eropah yang menganggap orang Melayu itu malas berbeza dengan masyarakat lain. Permintaan pada tenaga buruh ini tinggi kerana terdapatnya permintaan yang tinggi bagi sektor tanaman komersil contohnya di Perak, Negeri Sembilan dan Johor. Seperti tanaman lada hitam, gambir, tebu dan buruh-buruh ini dibawa masuk secara beransur-ansur. Contohnya dalam tahun 1852;Singapore Free Press menyatakan :

" Penemuan-penemuan perkembangan sains di Eropah telah menimbulkan dorongan kepada Negeri-negeri Selat, kegunaan gambir bagi pelbagai maksud yang berguna terutama menyamak kulit dan sebagai warna pencelup, ini telah memberi pekerjaan kepada ribuan penduduk Cina"

Pada tahun 1840an ini imigren kurang sedikit berbanding tahap kedua iaitu 1874 bila mana bijih timah atau getah ambil alih dalam pengeluaran ekonomi kolonial. Contohnya dari tahun 1881 - 1900 jumlah imigren Cina yang datang ke Tanah Melayu semakin menungkat kira-kira 89 00 sehingga 200 000 ribu orang. Manakala kedatangan orang India pula semakin meningkat dari 18 962 pada 1895 ke 38 351 pada 1900. Kebanyakan mereka ditempatkan di lombong bijih dan estet. Oleh kerana permintaan pada ekonomi kolonial yang tinggi, golongan imigren yang datang mereka masuk dalam acuan yang telah ditetapkan oleh British. Iaitu dimana orang Cina ditempatkan di kawasan lombong, orang India di kawasan estet atau ladang manakala orang Melayu dikatakan tidak sesuai bekerja ditempat-tempat ini kerana mereka dianggap tidak berminat dan malas. Sebenarnya sebelum kurun 19 lagi bijih timah telah mula diusahakan oleh orang Melayu seperti di negeri Melaka, Pahang, Johor, Klang, Perak dan Sungai Ujong sejak kurun 15 tapi ia hanya pekerjaan sambilan dan dilakukan pada masa lapang sahaja. Oleh itu orang Melayu telah dikekalkan dalam ekonomi sara dirinya kerana ekonomi komersil ini memerlukan kerja yang kuat untuk berjaya.

Bentuk hubungan kaum yang wujud pada tahap ini

Pada awalnya pedagang Cina berhubung dengan pembesar Melayu seperti di Perak dan Negeri Sembilan.

"Pembesar-pembesar Melayu mula mengupah buruh cina untuk mengusahakan lombong bijih timah mereka seperti yang dilakukan oleh Long Jaafar di Larut dan Raja Jumaat di Lukut."

Kemasukan buruh Cina dan India sangat digalakkan kerana bayaran bagi mereka adalah murah, selain itu mereka juga telah pandai atau mahir untuk jalankan kegiatan melombong ini. Orang Melayu biasanya cepat melatah, dengan kekayaan yang mereka kecapi. Mereka telah merasa dirinya itu seperti tuan. Oleh itu pembesar-pembesar yang ada kawasan lombong sendiri seperti Long Jaafar dan Raja Jumaat telah melantik seorang kapitan Cina sebagai wakilnya dikawasan lombong bijih. Apa yang pembesar ini tahu adalah mendapat wang yang banyak setiap bulan dan duduk di rumah seperti tuan besar tidak menyusahkan diri unuk memikirkan hal lombong atau masalah yang timbul. Ini kerana semua tugasnya telah diserahkan kepada kapitan Cina itu. Pembesar Melayu terlalu mempercayai kapitan Cina dan akhirnya sendiri yang menghadapi masalah.

Masyarakat Cina yang lain sangat taat dan setia pada pembesar Melayu awalnya. Tapi apabila kapitan Cina telah mengambil alih tugas pembesar di lombong dengan menjaga segala hal kebajikan, kesetiaan telah beralih arah. Hubungan antara kapitan Cina dan masyarakat Cina lain jadi semakin kuat. Dengan itu lama kelamaan tertubuhlah kongsi-kongsi gelap Cina yang besar seperti Hai San dan Ghee Hin. Kapitan Cina yang dilantik ini bergantung pada pembesar kerana lombong itu adalah milik pembesar, tetapi apabila British datang telah mengubah segala yang ada di Tanah Melayu ini menjadi miliknya secara automatik kesetiaan kapitan Cina berubah juga. Dengan kedatangan British, Britiish telah buat beberapa jabatan untuk menguruskan segala urusan. Temetrinya Perjanjian Pangkor pada 1874 telah banyak mengubah keadaan masyarakat di Tanah Melayu. Jikalau dahulu pembesar mempunyai peranan dalam mengutip cukai daripada masyarakat tapi dengan kedatangan British peranan pembesar hancur dan bentuk pemungutan cukai pun berubah dimana beberapa jabatan ditubuhkan dan ada pentadbirnya. Jabatan-jabatan inilah yang mengutip cukai daripada masyarakat dan wang kutipan itu diletakkan diperbendaharaan negara iaitu bawah Kerajaan British bukan sultan lagi. Kerana sultan tidak ada kuasa dalam pentadbiran hanya hal agama dan adat. Orang yang mengerjakan kawasan perlombongan itu jika dahulu dalam bentuk hamba yang dimiliki oleh pembesar-pembesar tenaga mereka dikerah dan tidak dibayar gaji. Tapi sekarang dengan perubahan yang dibuat oleh British mereka dikenali sebagai pekerja yang dibayar gaji, duduk dibawah kongsi dan di satu-satu kawasan. Kita dapat lihat banyak perubahan telah berlaku sejak 1840an - 1870an, peranan-peranan mereka yang bekerja telah berubah. Pekerja-pekerja yang diambil tetap dari China tetapi tuan yang mempunyai lombong sekarang ini bukan lagi milik pembesar tetapi telah menjadi milik saudagar dari Negeri-negeri Selat. Ini kerana permintaan terhadap hasil timah sangat menggalakkan di luar negeri. Oleh itu, pelbagai inisiatif diambil untuk meningkatkan hasil keluaran dan menambah modal. Satu caranya adalah gunakan alat-alat yang mempunyai teknologi tinggi. Untuk mendapatkan alat ini pembesar tidak mampu.

Akhirnya pembesar-pembesar ini telah mencagarkan kawasan lombongnya. Jikalau dulu Cina banyak bergantung dengan pembesar Melayu kerana mata pencarian mereka ada ditangan orangg Melayu. Tapi apabila datangnya British Cina telah mula bergantung pada British. Oleh sebab itu orang Cina dan India tidak lagi lihat pembesar Melayu kerana memandang hubungan mereka dalam bentuk ekonomi iaitu ekonomi kolonial. Dengan kedatangan British bentuk hubungan kaum berubah ia mestilah mengikut konsep hubungan kolonial. Di mana semua kuasa ada di bawah British dan segala apa yang perlu atau tidak adalah ikut kata British. British mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran di Tanah Melayu, dengan itu sekaligus British telah tentukan ekonomi, pendidikan dan pertempatan masyarakat pada masa itu. Hubungan yang British bentuk ini sebenarnya berkelompok-kelompok dan ia tidak mahu lihat masyarakat bersatu. Kelompok-kelompok masyarakat ini kekal hingga sekarang dan sukar untuk di ubah kerana telah sebati dalam hidup mereka. British mahukan masyarakat pelbagai kaum ini hidup dalam dunia masing-masing. Di mana orang Cina ditempatkan di lombong-lombong dengan sekutu mereka supaya mudah ditadbir oleh British. Begitu juga dengan orang Melayu ditempatkan di kampung-kampung dan masyarakat India di estet-estet. Manakala dalam pendidikan begitu juga British hanya berikan pendidikan tinggi kepada anak golongan elit, masyarakat bawah hanya untuk jadikan mereka pandai sedikit daripada ayah-ayah mereka.

Dalam hubungan yang terbentuk ini juga puak Ghee Hin dan Hai San telah berani menjadi penentu takhta. Mereka turut terlibat dalam perebutan takhta di Perak dan peranan mereka dalam menyokong antara anak-anak raja yang berebut itu. Selain itu juga masa menandatangani Perjanjian Pangkor puak ini terlibat dan ini seakan-akan mereka diberi peranan penting di dalam Tanah Melayu, sedangkan mereka adalah perompak. Akhirnya hubungan kaum di Tanah Melayu tidak dapat disatukan dan perpaduan tidak dapat terbentuk. Pembesar dan sultan telah hilang kuasa mereka untuk mentadbir di tanah sendiri. Hubungan yang terbentuk adalah hubungan kolonial dan semuanya mengikut pemerintah British.


Bibliografi

A.Azmi Khalid, Ekonomi Melayu Kurun ke-19; Sara diri atau komersil? Dalam Badariyah Haji Salleh et.al, Alam Pensejarahan : dari pelbagai perspektif, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996.

Drabble, J.H, Rubber in Malaya 1876 - 1922, Kuala Lumpur, Oxford University Press, 1973.

Khoo Kay Kim, Negeri-negeri Melayu Pantai Barat 1850 - 1875, Fajar Bakti Sdn Bhd, Petaling Jaya, 1984.

Lim Teck Ghee, Peasants and their Agricultural Economy in Colonial Malaya 1874 - 1941, Kuala Lumpur, Oxford University Press. 1977.

Muhd Amin b. Hassan, Asas Perkembanngan Ekonomi Tanah Melayu : Bijih timah dan Getah, dalam Zainal Abidin Abdul Wahid et.al, Malaysia Warisan dan Perkembangan , Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996.

Norazit Selat, Penaung dan Pengantara di dalam Masyarakat Melayu : satu konsepsualisasi teoritis, dalam Rampaian Pengajian Melayu, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1984.

Sheela Abraham, Sejarah Perkembangan Negara, Fajar Bakti Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1993.

Victor Purcell, The Chinese in Malaya, Kuala Lumpur, Oxford University Press, 1975.