Make your own free website on Tripod.com
WACANA 19
WACANA 17
oleh: KAMARUL RASHDAN HAJI SALLEH
TIME Research Institute
University of Salford
Manchester UK

Fakulti Kejuruteraan
Universiti Malaya
Kuala Lumpur

Meninjau memoir pemimpin negara dekad 50 an, kebanyakan visi pembangunan negara tidak pernah mengenali makna pembangunan sebenar melainkan berpaksi kepada makna pembangunan ala barat. Ini jelas terungkap melalui persepsi mereka terhadap pembangunan negara iaitu;

"...imposing sky-scrapers we have everywhere now! What a change has come over our capital! We have so many fine and tall buildings, so many big commercial firms, so many banks.... What a grand life we are having!"

Hakikatnya, makna pembangunan sebenar sewajarnya menepati konsep dan nilai islah dengan memelihara segala ciptaan ALlah SWT dari sebarang fasad (kerosakan). Disamping itu, perlu juga ia memenuhi nilai tazkiyah dengan memelihara dan menambah ciri-ciri kebaikan dan keindahan segala ciptaan ALlah SWT yang terutamanya makhluk manusia itu sendiri. Jelasnya pembangunan harus bersandarkan kepada usaha dan matlamat untuk memekar dan memurnikan anugerah tuhan yang bersifat halalan tayyiban (yang halal dan baik).

Makna pembangunan ini juga wajar diterjemahkan kepada usaha renaissance ummah mengikut takrifan yang sebenarnya. Dengan nada yang lain, cetusan renaissance dan penjanaan reformasi bagi pembangunan ummah harus mengintegrasikan nilai-nilai islah dan tazkiyah dengan tuntas. Ummah wajar diselamatkan dari fasad. Ummah juga wajar menikmati keindahan, kebaikan dan kemantapan di dalam penghidupan mereka. Dengan ini visi pembangunan ummah boleh diserasikan dengan tuntutan Islam.

Ini jelas berbeza dengan tanggapan Leahey, Dunwell dan Wendel yang menganggap makna pembangunan ummah sekadar suatu usaha untuk mempertingkatkan pertumbuhan, perkembangan dan kemajuan hidup manusia ke tahap yang maksimum berasaskan aspek-aspek duniawi dengan berpandukan kepada ledakan sains dan citarasa sosial. Manakala aspek-aspek kerohanian ditepiskan dan Pencipta dianggap tidak punya apa-apa peranan dalam penghidupan manusia.

Malah Joel Kot Kin dalam Tribes: How Race, Religion and Identity Determine Success in the New Global Economy menceritakan betapa masyarakat British dan Inggeris mencipta makna pembangunan ummah dengan melaksanakan dasar imperialisma yang meluas menerusi strategi 'diasfora by force' di setiap negara yang mereka jajah. Natijahnya telah menyebabkan nilai, amalan dan cara hidup keBaratan meresap ke dalam masyarakat tempatan dan mengakar umbi lalu terlahirnya kelompok- kelompok sosial tempatan yang melihat berdasarkan kacamata Barat.

Lantaran itu, fokus pembangunan dan intipati usaha Barat seperti biasa hanya bermanifestasikan ekonomi, industri dan teknologi. Tumpuan utama diberikan bersifat kuantitatif dengan memikirkan margin-margin keuntungan dan nilai-nilai kapital yang ada surut-naiknya. Justeru itu, persoalan islah dan tazkiyah gagal diinterpretasikan di dalam lakaran pembangunan ini. Malah, sebahagian besar tuntutan keagamaan tidak lagi menjadi dasar dan panduan ummah menghadapi fenomena ini.

Berdasarkan ketidakseimbangan ini maka sudah tiba masanya untuk ummat Islam menetapkan matlamat mereka yang sebenarnya yang ramuannya ada nilai-nilai Islam yang mantap. Ini perlu supaya ianya menjadi suatu 'global tribes' bagi menghadapi alaf baru agar ummat Islam bisa membina makna pembangunan sebenar yang di dalamnya ada nilai-nilai sustainable (mapan) yang waja.

"Fahaza Hi Nadzrah Hadhiran, Warruhu Fil 'Ula Tajul"
*moga pandangan yang hadir ini membawa jiwa dalam ketinggian*

al Faqir ilal Llah